Setahun PKP, Teruskan perjuangan, kita belum menang lagi

0
1

Muhammad Apendy Issahak 

[KOMENTAR] GENAP setahun rakyat Malaysia mengharungi kehidupan dalam norma baharu susulan pandemik Covid-19 yang memaksa kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. 

Pengumuman itu juga susulan ancaman wabak berkenaan yang diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selepas ia merebak di seluruh dunia dengan kes pertama dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019. 

Di Malaysia jangkitan pertama Covid-19 dikesan daripada tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020. 

Namun kluster paling terbesar yang dikesan setakat ini adalah Kluster Tabligh atau Kluster Perhimpuan Sri Petaling. 

Sehingga kini kes indeks bagi kluster berkenaan tidak diketahui susulan perhimpunan tahunan aktiviti keagamaan itu dihadiri lebih 10,000 peserta, termasuk dari negara yang mencatatkan kes jangkitan tinggi ketika itu antaranya India, Pakistan, Iran dan negara-negara Asia Barat lain. 

Beberapa kluster lain juga menjadi tumpuan ramai kerana kes indeks yang melanggar arahan iaitu Kluster PUI Sivagangga – kluster paling kontroversi kerana melibatkan kes indeks pulang dari luar negara yang gagal mematuhi arahan. 

Kes indeks adalah pemegang status PR telah dihukum penjara dan denda oleh mahkamah. 

Susulan kes itu, kerajaan mewajibkan semua individu yang memasuki negara ini menjalani kuarantin wajib dan menanggung sendiri kos bermula 24 Julai 2020. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pengumuman PKP 1.0, memaklumkan perintah itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967. 

Slogan ‘stay safe, stay at home’ dan ‘kita jaga kita’ menjadi antara kata-kata semangat kepada rakyat dalam bersama memerangi Covid-19 ketika itu. 

Kesungguhan rakyat dalam mematuhi PKP hampir memberi kemenangan kepada negara dengan jumlah kes harian berjaya dilandaikan hingga ke tahap sifar kes penularan tempatan pada 8 Julai 2020, namun kes kembali naik mendadak yang didakwa berpunca daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16. 

Proses demokrasi itu bermula 12 hingga 26 September 2020 menyebabkan gelombang kedua pandemik Covid-19 melanda negara. 

Keadaan itu mengakibatkan negara kembali bergelut memerangi peningkatan kes hingga sampai satu tahap Malaysia dijangka menghadapi 5,000 kes jangkitan harian dalam gelombang ketiga pandemik itu jika langkah segera tidak dilaksanakan. 

Muhyiddin kemudian mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 bermula 13 Januari 2021, disusuli langkah lebih drastik diambil sehari sebelum ia dilaksanakan selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 1 Ogos 2021. 

Pelbagai pakej rangsangan turut diumumkan kerajaan dalam meringankan beban rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19. 

Setakat ini jumlah tertinggi kes harian Covid-19 yang dicatatkan adalah 5,725 kes pada 29 Januari lalu dan sehingga semalam secara keseluruhan 327,253 kes direkodkan di Malaysia. 

Jumlah kematian akibat Covid-19 pula sehingga kini adalah 1,202 kes dan kes harian terkini dicatatkan adalah 1,219 kes semalam. 

Malaysia mula melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 24 Februari lalu membabitkan tiga fasa yang dijangka berakhir Februari tahun depan dengan sasaran 70 hingga 80 peratus rakyat divaksin. 

Pastinya kehidupan harian masyarakat seluruh dunia tidak lagi sama seperti sebelum wabak ini melanda, namun vaksin Covid-19 adalah sinar harapan untuk kembali menjalani kehidupan yang lebih baik selepas berperang dengan pandemik ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here