PASUKAN peguam bela Datuk Seri Najib Razak sedang berusaha melawan permohonan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk menangguhkan perintah mahkamah menyerahkan dokumen dan testimoni yang penting untuk pembelaannya dalam perbicaraan berkaitan 1MDB di Malaysia.
Pasukan peguam bela Najib di New York bergantung kepada dakwaan yang pentadbiran AS bersekongkol dengan Goldman Sachs untuk menghalang mereka daripada mengakses dokumen yang diperlukan.
Menurut surat daripada pasukan peguam bela Najib kepada mahkamah selatan New York bertarikh 14 Mac lalu, mereka berkata yang dakwaan itu sudah memadai untuk mahkamah menolak permohonan kerajaan AS.
Firma Wiggin and Dana, yang mewakili Najib, turut merujuk dakwaan yang terdapat dalam surat oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng bertarikh 12 Mac.
Pasukan peguam Ng iaitu firma Brafman & Associates PC telah menulis surat kepada mahkamah timur New York dan mendakwa permohonan kerajaan AS itu ‘bukti jelas bahawa Goldman Sachs adalah sebahagian daripada pasukan pendakwaan, dilindungi secara aktif oleh kerajaan, dan mempunyai kepentingan sama dengan kerajaan’.
“Jika ada keraguan tentang sifat hubungan kerajaan dengan Goldman Sachs sebelum ini, bahkan di tengah-tengah isu yang dibangkitkan usul defendan terhadap Yang Arif, keraguan itu terhapus dengan tindakan pendakwaan satu kes jenayah di timur New York yang mencelah sebagai peguam Goldman Sachs secara percuma dalam kes sivil yang sedang berjalan di mahkamah daerah selatan,” menurut peguam Ng yang dipetik daripada Malaysiakini, hari ini.
Goldman Sachs dan bekas pegawainya Tim Leissner memiliki dokumen dan testimoni yang penting untuk pembelaan Najib dalam perbicaraan berkaitan 1MDB di Malaysia.
Sebelum ini, mahkamah selatan New York membenarkan permohonan sapina Najib agar Goldman Sachs dan Leissner menyerahkan dokumen yang dituntut.
Bagaimanapun, kerajaan AS memfailkan permohonan untuk menangguhkan perintah tersebut. Permohonan itu belum didengar.
Pasukan peguam bela Najib pada 14 Mac, sekali lagi mengatakan kepada Mahkamah Southern District bahawa bukti dokumen dan testimoni tersebut penting bagi pembelaan pendakwaan jenayah terhadapnya di Malaysia.
“Akhirnya pendedahan peguam Ng menjelaskan lagi yang permohonan kerajaan untuk menangguhkan perintah mahkamah itu perlu ditolak dan sapina terhadap pemohon perlu dikuat kuasa segera,” tegas pasukan peguam bela Najib. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/15/tiada-bukti-hasil-rampasan-duit-1mdb/

