Terawih di Wilayah Persekutuan dibenarkan dengan jarak 1.5 meter

0
2

Nurul Huda Abhar

SOLAT sunat terawih di Wilayah Persekutuan dibenarkan dilaksanakan sebanyak 20 rakaat, mengikut kapasiti masjid atau surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter setiap jemaah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata bagaimanapun aktiviti imarah masjid termasuk kuliah dan ceramah ketika bulan Ramadan tidak dibenarkan.

“Ini kerana kita mahu mengambil kira perkumpulan jemaah di masjid tidak terlalu lama. Namun, kita membenarkan juga tadarus selama satu jam.

“Larangan ini kerana tidak mahu jemaah terlalu lama berada di masjid kerana kita dalam usaha putuskan rantaian Covid-19.

“Berbuka puasa di masjid juga dilarang kerana kita tidak mahu ada perkumpulan terlalu lama di masjid,” katanya ketika sidang media di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, jumlah jemaah yang dibenarkan bagi masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MWPKL) untuk menunaikan solat sunat terawih adalah dengan kapasiti separuh daripada keluasan masjid.

“Berdasarkan pada kuota dijangka dapat memenuhi sebanyak 3,500 orang jemaah bagi setiap solat sunat terawih,” ujarnya.

Mohd Ajib ditemui selepas selesai Majlis Serahan Sumbangan MWPKL dan MyCar kepada  e-hailing MyCar dan pemandu teksi.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif MyCar, Datuk Noor Sheena Maideen dan Pegawai Eksekutif MyCar Mohd Noah Maideen.

Seramai 300 pemandu e-hailing MyCar dan pemandu teksi menerima sumbangan barangan keperluan asas dalam majlis tersebut.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan solat terawih dibenarkan tahun ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. – Malaysiapost


Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/16/bazar-ramadan-aidilfitri-dan-solat-terawih-dibenarkan-tahun-ini/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here