KERAJAAN memutuskan bahawa apa-apa kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Pindaan 2021 dibahagikan kepada tiga kategori kompaun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata sebelum ini jumlah maksimum kompaun adalah RM1,000 untuk semua kesalahan tiada kategori.
Menurutnya, melalui pindaan yang dibuat pada Februari lalu ia dibahagikan kepada dua kategori kompaun iaitu kepada individu maksimum RM10,000 dan pertubuhan atau perbadanan tidak melebihi RM50,000.
Beliau berkata, selepas Kementerian Kesihatan (KKM) membuat kajian dan cadangan serta membentangkannya kepada Kabinet hari ini, kerajaan memutuskan supaya apa-apa kesalahan dibawah Akta 342 terdiri daripada tiga kategori.
“Kategori pertama (tinggi) – kesalahan yang menyebabkan risiko penularan yang tinggi atau memberi impak jangkitan Covid-19 kepada komuniti pada skala besar.
“Kategori kedua (sederhana) – kesalahan yang menyebabkan risiko tinggi namun tidak memberi impak jangkitan Covid-19 kepada komuniti.
“Kategori ketiga (normal) – kesalahan yang boleh menyebabkan risiko jangkitan Covid-19 yang rendah dan tiada kesan langsung kepada penularan dalam komuniti,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Hadir sama dalam sidang media tu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba
Takiyuddin berkata, terdapat beberapa kesalahan yang disenaraikan setakat ini berdasarkan tiga kategori berkenaan.
“Bagi kesalahan kategori tinggi, antaranya adalah pengamal perubatan tidak memberikan notis dalam borang yang ditetapkan dibawah peraturan tentang wujudnya penyakit berjangkit dan kompaun dicadangkan RM50,000.
“Enggan mematuhi apa-apa arahan dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa (RM5,000) dan kengganan seseorang yang dijangkiti Covid-19 untuk dipindahkan atau ditahan (RM5,000).
“Bagi kesalahan memasuki atau berada di pusat hiburan jika individu akan dikenakan kompaun maksimum RM10,000 dan peniaga atau pemilik premis pula dikenakan RM50,000,” katanya.
Menurutnya, bagi kesalahan kategori sederhana antaranya ada pergerakan masuk ke kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan kompaun RM3,000
“Enggan mematuhi arahan di kawasan PKP boleh dikompaun RM4,000 dan enggan memberi maklumat dikehendaki berkenaan pencegahan dan kawalan Covid-19 RM4,000 untuk individu syarikat RM20,000.
“Kesalahan kategori normal pula antaranya adalah individu yang melakukan kesalahan pelanggaran sama ada pelanggan, pekerja, pembekal gagal memakai pelitup muka kali pertama (RM1,500), gagal mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera atau buku pendaftaran (RM1,500), gagal memastikan penjarakan sosial (RM1,500) dan peniaga gagal mematuhi waktu operasi RM10,000,” katanya.
Beliau berkata, bagi yang tidak berkemampuan seperti golongan miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU) boleh membuat rayuan dengan sokongan dokumen kepada KKM melalui saluran tertentu iaitu Pengarah Kesihatan Negeri, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Kesihatan Awam, Pegawai Kesihatan Apedemiologi dan Pegawai Kesihatan Daerah.
“Kaedah pembayaran kompaun pula individu atau syarikat yang membayar dalam tempoh seminggu secara automatik boleh dapat diskaun 50 peratus dan pembayaran dalam tempoh dua minggu mendapat diskaun 25 peratus.
“Jika tidak bayar kompaun sehingga melepasi 14 hari maka tiada diskaun,” katanya. – Malaysiapost

