Kompaun RM10,000: Apa sudah terjadi? – Najib

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan apa sudah jadi dengan rayuan terhadap kompaun RM10,000 atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Ia susulan laporan media berlaku kecelaruan dalam isu berkenaan selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dilaporkan tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan rayuan atau mengurangkan kompaun.

“Di bawah undang-undang, pihak polis tiada kuasa untuk menulis kompaun kurang (atau lebih) dari RM10,000. Suruh rayu di pejabat kesihatan daerah jika mahu kompaun diturunkan.

“Menurut tinjauan media, orang yang merayu pula diberitahu bahawa pejabat kesihatan daerah tiada kuasa untuk mengurangkan kompaun?

“Disuruh untuk mengemukakan surat rayuan kepada Ketua Pengarah KKM di Putrajaya. Atau rayu di mahkamah. Apa sudah terjadi?,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau turut memuat naik tangkap layar laporan media berhubung isu berkenaan.

Semalam Sinchew Daily yang membuat tinjauan di PKD Petaling di Selangor mendapati orang ramai diminta memohon kebenaran polis untuk merentas daerah ke Kementerian Kesihatan di Putrajaya untuk membuat rayuan.

“Sebarang permohonan rayuan pengurangan tawaran kompaun RM10,000 dan lebih, tuan/puan boleh mengemukakan surat rayuan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pihak PKD Petaling tiada kuasa untuk mengurangkan tawaran kompaun tersebut. Harap maklum,” menurut satu notis.

Akhbar itu melaporkan, selain kompaun RM10,000, terdapat penerima saman RM1,000 yang cuba membuat rayuan, namun diberitahu kes tidak boleh dikendalikan di kaunter PKD, didakwa kerana pejabat itu tidak menerima arahan daripada KKM untuk mengendalikan rayuan.

PKD Kuantan pula dilaporkan memberitahu ia tidak tahu sama ada boleh mengendalikan kompaun RM10,000 kerana belum menerima arahan pihak atasan.

Tinjauan oleh Sinchew Daily di Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut di Pulau Pinang mendapati orang ramai diberitahu bahawa saman pelanggaran SOP tidak boleh dikurangkan di pejabat kesihatan.

“Mereka yang tidak membayar dan dihadap ke mahkamah boleh mengemukakan rayuan pengurangan semasa berada di mahkamah,” menurut satu notis makluman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here