KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menasihati Tan Sri Annuar Musa supaya jangan ‘cepat koyak’ dalam berpolitik.
Dalam kenyataan ringkas di Facebooknya, Isham turut meminta Bekas Setiausaha Agung BN itu supaya sentiasa kekal tenang, istiqamah dalam perjuangan.
Kenyataan Isham itu susulan ciapan Twitter Annuar yang memuatnaik laporan sebuah portal berita berkenaan kenyataannya berhubung isu kerjasama Umno dan PKR.
Dalam ciapan itu, Annuar secara sinis bertanya apakah jawatan Isham di dalam Umno.
“Dia ni siapa ya… ketua bahagian mana,” ciap Annuar.
Sehubungan itu, sebagai respon kepada Annuar, Isham turut meminta supaya Ahli Parlimen Ketereh itu bertenang.
“Saya Ketua Penerangan BN Negeri Selangor merangkap akar umbi ahli biasa Umno. Apa ada masalah?
“Dalam politik, jangan cepat koyak Tan Sri. Perlu selalu tenang, cekal dan istiqamah dalam perjuangan. Salam,” katanya.
Semalam, Isham berkata, Umno boleh pertimbang kerjasama dengan PKR, namun jawatan perdana menteri perlu diberikan kepada parti itu.
Isham berkata, akar umbi pasti menolak kerjasama dengan PKR jika matlamatnya adalah untuk mengangkat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
“Pada hemat saya, kita terbuka untuk pertimbang kerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan mereka ikhlas dan jujur dalam kerjasama tersebut. Dan ia juga bergantung kepada penerimaan akar umbi Umno dan pucuk pimpinan parti,” katanya. -Malaysiapost

