Thomas Su tampil mohon maaf isu kekecohan Konvensyen DAP Perak

0
1

SUSULAN kekecohan pada Konvensyen DAP Perak ke-19 di Ipoh Ahad lalu, Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong tampil memohon maaf dan memberi penjelasan atas tindakannya yang didakwa mencetuskan kekecohan itu. 

Beliau dalam satu kenyataan hari ini, mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu dan sedar ia mencemarkan reputasi parti dan dirinya sendiri.

Su berkata, dia sepatutnya menzahirkan bantahannya melalui saluran yang lebih sesuai.

“Saya sedar tindakan saya, sekalipun berniat baik atau selaras engan apa yang saya percaya sebagai prinsip DAP, adalah salah dan tidak mencerminkan gaya perjuangan DAP. 

“Dengan ini, saya menzahirkan kekesalan dan memohon maaf,” katanya. 

Dalam menjelaskan mengenai insiden kekecohan terbabit beliau berkata, ia terjadi selepas menyedari proses pendaftaran delegasi parti masih diteruskan walaupun konvensyen dan mesyuarat parti sudah bermula pada jam 12.30 tengah hari. 

Menurutnya, senarai kehadiran ahli parti juga dipercayai digunakan oleh kumpulan dan individu tertentu bagi mengajak lebih ramai delegasi hadir walaupun mesyuarat sudah bermula.

“Saya rasa ini tidak wajar. Pada ketika itu, saya membantah tindakan itu dan meminta ia dihentikan segera, atau saya diberi kebenaran melihat senarai nama berkenaan. 

“Namun, bantahan saya ini tidak diendahkan, di mana saya rasa ia bertentangan dengan prinsip asas DAP yang sebelum ini berbangga dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan demokrasi,” katanya. 

Menurut Su, dia kemudian hilang pertimbangan dan mula meninggikan suara hingga menyebabkan berlakunya perang mulut dalam kalangan ahli-ahli parti ketika itu. 

Justeru, beliau meminta agar jawatankuasa eksekutif pusat parti meneliti penjelasannya berhubung insiden berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyiasatnya. 

“Saya percaya, harapan saya ini adalah selaras dengan apa yang diperjuangkan DAP dalam pemilihan yang adil dan telus,” katanya. – Malaysiapost 

Foto Kredit: Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here