Tragedi Christchurch: Mangsa tembakan mahu terus ‘bangkit’

0
2

GENAP dua tahun tragedi berdarah serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand berlalu.

Tragedi 15 Mac 2019 itu merobek hati umat Islam di seluruh dunia yang mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan magsa termasuk tiga rakyat Malaysia.

Bagi Rahimi Ahmad, 41, rakyat Malaysia yang terselamat selepas terkena tembakan rambang pengganas dalam insiden ngeri itu, berkata beliau mengakui peristiwa dasyat itu masih segar dingatannya.

Menceritakan mengenai detik cemas itu, Rahimi berkata, ketika kejadian jemaah sedang kusyuk mendengar khutabah Jumaat disampaikan Imam Masjid Al Noor, Al Fadhil Imam Gamal.

“Suasana damai apabila khusyuknya jemaah mendengar khutbah oleh Al Fadhil Imam Gamal pada waktu yang diberkati bagi penghulu segala hari.

“Anak lelakiku di sebelah kanan sedang asyik merangkul lenganku. Namun tiba-tiba kami dikejutkan oleh bunyi letupan yang amat kuat, mengejutkan semua jemaah termasuk khatib yang sedang bersemangat berkhutbah,” catatnya dalam hantaran di Facebooknya.

Beliau berkata, sebelum kejadian jemaah dikejutkan dengan bunyi seakan runtuhan besi daripada bangunan tinggi yang menggangu seketika bacaan khatib.

“Bunyi seperti runtuhan besi dari bangunan yang tinggi. Hendak dikata gempa bumi namun tiada pula bumi bergegar. Suasana hening seketika.

“Beberapa saat kemudian khatib memulakan khutbah semula, baru beberapa patah perkataan, bunyi kuat yang terhasil barulah kami semua dikejutkan oleh jemaah di belakang,” catatnya.

Rahimi berkata, bunyi yang disangka gempa bumi itu rupanya letupan daripada tembakan rambang dilepaskan pengganas berkenaan yang menyasarkan jemaah dalam masjid itu.

Katanya, beliau terdengar seorang lelaki menjerit menyuruh jemaah lari menyelamatkan diri kerana masjid itu telah diserang pengganas.

“Rupanya bunyi itu bunyi letupan hasil dari tembakan setelah jemaah di belakang berlaung tanpa henti.

“‘Run! Run! Gun shooting’ berulang-ulang kali dijeritkan. Sehingga kini tidak tahu suara siapakah insan yang menyelamatkan beratus-ratus nyawa lagi. Semoga Allah memberi sebesar-besar ganjaran pada insan itu.,” katanya yang bekerja di sebuah kilang susu di Christchurch.

Tubuh jemah, anak kecil dihujani peluru

Bercerita lanjut, Rahimi berkata, semua jemaah di masjid itu berada dalam keadaan panik dan bertempiaran lari menyelamatkan diri termasuk kanak-kanak.

“Setelah semua mula tersedar akibat kejadian yang tidak terjangka akal tersebut, malah boleh dikatakan agak mustahil untuk berlaku di New Zealand, semua jemaah di dalam dewan mula panik dan melarikan diri supaya terselamat dari ditembak.

“Namun susuk ‘penakut’ yang mengganas itu terus menarik picu senapangnya, menembak ke arah tubuh insan yang tidak dikenalinya pun.

“Aku pada waktu itu terus panik, kerana anakku hilang dari genggamanku, malah lebih menakutkan ku lihat tubuh kerdil berusia tiga tahun dihujani peluru dihadapan mataku,

“Malah peluru juga mengenai sahabat ahli jemaah yang ku kenali, rebah jua tubuhnya di atas lantai rumah Allah,” katanya.

Anak jati kelahiran Pulau Pinang itu berkata, ketika saat yang penuh cemas itu matanya melilau mencari anaknya yang hilang daripada pandangan mata.

Katanya, beliau langsung tidak memikirkan mengenai keselamatan dirinya kerana nyawa anaknya adalah lebih penting.

“Aku terus tidak keruan…. menjerit bagai orang gila mencari anakku sambil di hadapan mata terlihat peluru melintasi.

“Namun tidakku hiraukan, daku memusing tubuhku namun tatkala beberapa langkah ke arah pintu keluar, ku lihat sudah banyak tubuh kaki di atas lantai rumah Allah ini dan beberapa ketika tubuhku pula menyembah bumi,” katanya.

Terkena tembakan di pinggang

Rahimi berkata, selepas rebah terkena tembakan di pinggang beliau bertindak untuk mendiamkan diri walaupun tubuhnya ketika itu sudah berasa kebas.”Terus waktu itu Allah Yang Maha Mengetahui mengilhamkanku supaya berdiam diri biar sudah aku merasa panas di sebelah kanan pingganku.

“Tiada lagi daya padaku, hanya pada Mu Rabb aku berserah. Aku hanya berdoa Allah menyelamatkan anakku dan aku terus mengunci bibir, mengetap gigi dan menongkat lidah,” katanya.

Rahimi berkata, peristiwa hitam itu dicatatkan dalam buku ‘Travelog Tragedy Christchurch’ dikarang Al Fadhil Ustaz Khalid Yahya, Ustazah Ateh Yani Yahya dan suami, Ahmad Saiful Alwi serta sahabatnya.

“Tetapi apabila aku menatap setiap foto, apa yang dapat aku lihat semuanya saat aku tersenyum, umpama tiada sakit walaupun terasa kulit seperti disiat setiap masa. Allah Maha Besar, berkatnya doa orang yang menziarahi orang yang ditimpa musibah.

“Ar-Rahman 55:16 Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

“Ucapan terima kasih pada semua yang tidak dapat aku senaraikan di sini. Hanya Allah Yang Maha Adil sebaik-baik pemberi balasan. Aku doakan juga semoga sahabat-sahabat yang belum Muslim diberi hidayah oleh Allah jua,” katanya mengakhiri catatan itu.

Rahimi turut berterima kasih kepada semua pihak, khususnya keluarga yang memberi kerjasama sepanjang proses pemulihan daripada tragedi terbabit.

Difahamkan, selepas peritiwa itu, Rahimi sekeluarga kini masih menetap di Christchurch bagi menjalani prosedur fisioterapi dan beberapa rawatan susulan bersama pakar bedah di Hospital Burwood, selain anaknya perlu meneruskan persekolahan di sana.

Selain Rahimi, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera dalam serangan itu ialah Mohd Tarmizi Shuib, 44, dari Alor Setar, Kedah dan Mohd Nazri Hisham Omar, 47, dari Shah Alam, Selangor.

Selain itu, Allahyarham Mohd Haziq, 17, anak kedua Mohd Tarmizi terkorban dalam serangan di Masjid Al Noor.

Sebelum ini, Rahimi mengakui keadaan anak sulungnya, Ahmad Razif, 12, yang masih mengalami trauma susulan kejadian terbabit, selain berusaha untuk mengatasi keadaan itu sebaiknya. -Malaysiapost

Sumber: Facebook Rahimi Ahmad

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here