Budak 3 tahun maut ditinggal dalam kereta lebih 5 jam

0
2

KANAK-KANAK lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai lebih lima jam ditinggalkan dalam kereta di sebuah tadika di Taman Ria, Alor Setar, semalam. 

Difahamkan kanak-kanak terbabit dijemput oleh pengetua tadika untuk dijaga pengasuh di tadika berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati mangsa sudah hampir setahun dihantar ke tadika itu. 

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengetua tadika iaitu wanita berusia 49 tahun akan mengambil mangsa dari rumah ibu bapanya ke tadika pada Ahad hingga Khamis.

“Namun, selepas PKP, pengetua itu hanya mengambil dan menghantar mangsa pada Selasa dan Rabu, manakala hari lain mangsa dihantar sendiri ibunya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, pada hari kejadian pengetua tadika itu mengambil mangsa di rumahnya di Taman Ria, pada jam 7.45 pagi dan mangsa ketika itu dalam keadaan sihat duduk di tempat duduk belakang.

“Sebelum itu, pengetua terbabit turut mengambil seorang pelajar lain yang berusia lima tahun dan diletakkan di tempat penumpang hadapan.

“Namun sebaik tiba di hadapan tadika, seorang guru mengambil pelajar yang berada di bahagian penumpang hadapan dan terus masuk ke dalam tadika. Dia memakir kereta di tepi luar tadika dan mematikan enjin kereta,” katanya.

Adzli berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa berada di dalam kereta dengan keadaan pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan, dipercayai dari 8 pagi hingga 12.15 tengah hari.

“Kejadian hanya disedari pada jam 12.15 tengah hari ketika pengetua mahu menghantar semula mangsa ke rumah, namun mendapati dia tiada dalam kelas.

“Guru kelas memberitahu mangsa tidak hadir ke sekolah menyebabkan wanita itu terus menuju ke arah kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran dan mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, pengetua terbabit kemudian menghubungi ambulans dan melaksanakan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap mangsa namun mangsa tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans dan hasil pemeriksaan doktor memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan tiada kesan kecederaan di luaran.

“Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dipanggil untuk pengambilan sampel dan dapat satu sampel swab di atas kerusi penumpang belakang.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat,” katanya.

Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan polis menahan pengetua wanita itu untuk membantu siasatan. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here