JPJ sahkan 32 pegawai ditahan lindungi pemandu lori

0
2

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan mengenai penahanan 32 pegawainya oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi di lima negeri kelmarin. 

JPJ dalam satu kenyataan malam tadi, memaklumkan penahanan pegawainya dalam Ops Sukat di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka adalah hasil kerjasama agensi itu dengan SPRM dalam usaha memerangi gejala rasuah. 

“Tindakan ini adalah hasil kolaboratif rapat antara JPJ dan SPRM dalam usaha memastikan agar jabatan ini sentiasa bersih daripada sebarang element salah guna kuasa dan gejala rasuah yang mengakibatkan ketirisan hasil negara. 

“Inisiatif ini tidak akan berhasil jika tidak mendapat kerjasama padu daripada semua pihak terutama dalam kalangan warga kerja JPJ sendiri,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pengurusan tertinggi JPJ berharap tindakan berkenaan menjadi satu manifestasi jelas bahawa JPJ tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan boleh menjejaskan reputasi dan nama baik JPJ berhubung aspek integriti dalam menjalankan tugas rutin. 

“Pengurusan tertinggi JPJ merakamkan penghargaan kepada warga kerja JPJ yang sentiasa istiqamah menegakkan aspek integriti dalam menjalankan tugasan rutin mereka.

“JPJ akan sentiasa komited dalam meneruskan kerjasama padu dengan SPRM agar langkah pematuhan dan ketelusan dalam proses kerja jabatan, akan sentiasa dinobatkan demi mengelak daripada berlakunya kegiatan tidak bermoral seperti ini di masa hadapan,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here