Penganggur rogol remaja bawah umur dipenjara, sebat

0
2

SEORANG penganggur dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, selepas didapati bersalah merogol remaja berusia 16 tahun.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Muhammad Jufri Imran Sidek, 21, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, lapor Harian Metro.

Tertuduh berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa di sebuah bangsal di Merchang, Marang jam 1 pagi pada 17 Januari 2019.

Tertuduh turut dituduh melakukan kesalahan sama di beranda hadapan rumah di Merchang masing-masing jam 2.30 pagi dan jam 3 pagi pada 23 serta 24 Januari 2019.

Nooriah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Nooriah mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dijalankan secara berasingan daripada pertuduhan kedua dan ketiga bermula tarikh sabitan iaitu hari ini.

Hukuman penjara bagi pertuduhan kedua dan ketiga dijalankan serentak sebaik sahaja hukuman penjara bagi pertuduhan pertama berakhir.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Nordin Kassim & Aziz. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here