OPERASI besar-besaran dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras aktiviti rasuah membabitkan sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya.
Difahamkan seramai 44 individu terdiri daripada 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara yang ditahan dalam operasi dinamakan Ops Sukat itu.
Turut ditahan anggota polis trafik, bekas polis trafik serta orang awam.
Laporan Sinar Harian yang memetik sumber berkata, pegawai JPJ yang ditahan adalah membabitkan pelbagai gred jawatan termasuk pegawai kanan manakala orang awam pula adalah proksi.
“Tangkapan dilakukan menerusi satu operasi besar-besaran yang dikenali sebagai Ops Sukat di lima negeri iaitu Kedah dengan lapan pegawai JPJ ditahan, seorang anggota trafik, seorang bekas anggota trafik polis dan seorang orang awam.
“Pulau Pinang pula seramai sembilan pegawai JPJ, manakala Perak lapan pegawai JPJ dan empat orang awam.
“Perlis membabitkan tangkapan seorang awam dan Melaka tangkapan seramai tujuh pegawai JPJ dan empat orang awam sejak semalam,” katanya sumber itu.
Katanya, antara modus operandi yang dikesan ialah pegawai-pegawai berkenaan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang telah melakukan kesalahan jalan raya setelah menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.
“Mereka dipercayai menerima kira-kira RM150 hingga RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan melibatkan kira-kira RM1.64 juta.
“Perbuatan ini dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2020,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhajaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkaitan operasi berkenaan.
Menurutnya, operasi itu adalah hasil kerjasama antara SPRM dan JPJ khususnya ketua pengarah dan Bahagian Integriti JPJ dalam usaha meningkatkan integriti jabatan terbabit.
“Ketika ini siasatan masih lagi berjalan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi siri tangkapan.
“Objektif siasatan ialah tertumpu kepada kesalahan rasuah di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 dan melibatkan isu salah laku. Kita cuba untuk lakukan siasatan secepat mungkin,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/16/rasuah-8-kakitangan-jpj-antara-10-direman/

