TIADA ‘big brother’ dalam Perikatan Nasional (PN) dan gabungan itu tidak membenarkan mana-mana parti anggota mendominasi parti lain, tegas Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurutnya, parti itu berpegang pada prinsip saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Kita telah ada satu kerangka tentang bagaimana pengagihan kerusi (pilihan raya) patut dijalankan.
“Kerusi-kerusi penyandang harus dihormati dan dipertahankan, sebagai contoh kerusi Pagoh telah dimenangi Bersatu kekal untuk Bersatu, kerusi Marang dimenangi PAS maka kekal untuk PAS,” katanya dalam satu wawacara bersama Sinar Harian.
Beliau berkata, soal calon pula
adalah hak parti masing-masing, manakala kerusi yang belum dimenangi perlu dibincang secara bersama dengan mengambil kira faktor kemenangan.
“Kalau calon itu baik dan diterima pengundi serta mempunyai jentera yang tersusun, kita tiada masalah beri laluan
“Tetapi kalau kawasan itu ada calon dari parti lain lebih baik, kenapa kita tidak berbincang yang akhirnya pertimbangan kita adalah nak menang bukan nak kalah,” katanya.
Menurutnya, jangan hanya disebabkan perebutan membabitkan kerusi berkenaan yang boleh menjejaskan PN.
“Hanya ada 13 sahaja kerusi bersifat seperti itu yang dikatakan menang atas tiket sebuah parti kemudian berpindah ke parti lain
“Tetapi persoalan saya apakah dengan 13 kerusi ini kita nak runtuhkan 220 kerusi, nak runtuhkan sebuah kerajaan yang kita bina secara bersama.
“Saya mengambil pendekatan kalau itulah isunya.. ayuh mari kita tumpu perbincangan terhadap 13 kerusi itu,” katanya. – Malaysiapost

