LAPAN kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah antara 10 individu direman pagi ini, selepas disyaki terbabit rasuah dan melindungi lori pengangkutan di negeri itu.
Semua suspek berusia 29 hingga 63 tahun ditahan dalam operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di sekitar Alor Setar dan Kulim bermula jam 8.25 pagi hingga 7.45 malam tadi.
Difahamkan, lapan kakitangan JPJ Kedah termasuk seorang wanita disyaki menerima suapan daripada pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan bagi mengelak tindakan ke atas lori milik syarikat terbabit.
Antara kesalahan dilakukan lori milik syarikat pengangkutan terbabit adalah membawa barangan lebih muatan dan lori tidak mematuhi peraturan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, lapor Berita Harian.
Dua lagi individu iaitu orang awam dan pesara dipercayai terbabit menjadi orang tengah syarikat pengangkutan itu dalam berurusan bersama kakitangan penguatkuasaan berkenaan.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a) dan 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Operasi SPRM Kedah itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sama melibatkan kakitangan JPJ Pulau Pinang yang ditahan pada 2019.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan penahanan dan memaklumkan kenyataan penuh berhubung operasi akan dibuat SPRM Putrajaya dalam tempoh terdekat. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/09/datuk-seri-terima-rasuah-rm300000-ditahan-sprm/

