Lebih ramai sudah divaksin

0
2

JUMLAH keseluruhan rakyat Malaysia yang sudah menerima dos pertama vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa pertama setakat semalam adalah 321,331 penerima. 

Data dan infografik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebooknya hari ini, menunjukkan Selangor mencatatkan pemberian vaksin tertinggi iaitu 38,632 individu.

Ini diikuti Perak (34,666), Sarawak (32,028), Sabah (30,433) dan Kuala Lumpur (29,937).

Di Pahang pula, seramai 25,525 individu sudah menerima vaksin, selain Johor (24,749), Kedah (21,171), Pulau Pinang (18,465), Kelantan (15,877) dan Terengganu (14,949).

Negeri Sembilan merekodkan 12,865 individu sudah divaksin, diikuti Melaka (8,251), Perlis (7,276), Putrajaya (4,165) dan Labuan (2,342).

PICK fasa pertama menyasarkan seramai kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan divaksin bermula hujung Februari lalu hingga April ini 

Fasa kedua program berkenaan pula akan membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan bermula April hingga Ogos depan, untuk 9.4 juta golongan warga dan golongan berisiko tinggi.

Bagi fasa ketiga, yang akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan kira-kira 13.7 juta lagi individu berusia 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing akan divaksin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin turut mengumumkan pemberian vaksin Sinovac akan dimulakan Khamis ini dan beliau menjadi penerima pertama vaksin itu di Hospital Rembau, Negeri Sembilan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here