Rentas negeri punca PKPD di Tioman

0
1
polis_pkp_kota_setar

AKTIVITI rentas negeri dipercayai punca utama peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di Pulau Tioman hingga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terpaksa dilaksanakan bermula hari ini. 

Peningkatan itu dikatakan berpunca daripada sekumpulan pekerja dari Mersing dengan seorang daripadanya dipercayai positif Covid-19. 

Difahamkan setibanya di Pulau Tioman, mereka tinggal di sebuah chalet di Air Batang beramai-ramai tanpa penjarakan fizikal menyebabkan berlakunya penularan wabak itu dan sehingga kini 16 individu disahkan positif. 

Pegawai Daerah Rompin, Ahmad Nasim Mohd Sidek, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan jumlah kes akan meningkat selepas saringan secara menyeluruh terhadap kontak rapat dilaksanakan.

Menurutnya, setakat ini tujuh individu dikenal pasti melakukan rentas negeri dan pihak berkuasa sedang mengumpulkan bukti-bukti berkaitan sebelum tindakan seterusnya dapat dikuatkuasakan.

Beliau berkata, antara tindakan yang akan dikenakan adalah kompaun maksimum terhadap kesemua yang terbabit jika didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan kawalan wabak Covid-19. 

Beliau berkata, denda maksimum sememangnya perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya tidak melanggar SOP hingga boleh mengakibatkan berlakunya penularan Covid-19.

“Kita masih menyiasat berapa ramai lagi yang merentas negeri dan jumlah yang merentas negeri akan dikompaun maksimum.

“Sehingga kini tujuh dipercayai merentas negeri namun jumlah sebenar yang akan dikenakan kompaun setelah siasatan selesai dijalankan oleh polis,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette. 

Sementara itu, Ahmad Nasim meminta 860 isi rumah di Pulau Tioman supaya tidak bimbang walaupun terpaksa menjalani PKPD kerana kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan termasuk makanan dan barangan keperluan secukupnya kepada mereka. – Malaysiapost 


Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/16/bantuan-segera-kepada-penduduk-pulau-tioman/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here