KERAJAAN Pahang mengarahkan misi bantuan digerakkan segera kepada penduduk Pulau Tioman bagi memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan mencukupi.
Ia susulan Pulau Tioman dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Rompin, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) serta beberapa agensi lain, akan turut dilibatkan secara aktif bagi menyempurnakan misi bantuan tersebut.
“Keutamaan dan keprihatinan kerajaan negeri ialah pada aspek kesihatan dan kebajikan penduduk di pulau tersebut yang melibatkan 860 Ketua Isi Rumah (KIR) atau keluarga kesemuanya.
“Semoga dengan bantuan segera ini, penduduk tidak terkesan teruk dengan langkah PKPD yang dilaksanakan demi membendung penularan pandemik Covid-19 baik secara dalaman mahupun ke luar.
“Dengan bantuan segera ini juga akan menjamin kebajikan penduduk sentiasa terpelihara dalam mengharungi tempoh PKPD selama 14 hari sehingga 29 Mac,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu Wan Rosdy berharap penduduk dapat bersabar serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di Pulau Tioman bermula hari ini setelah 16 kes positif Covid-19 direkodkan di pulau peranginan itu. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/15/pkp-di-nabawan-dilanjutkan-pkpd-di-pulau-tioman/

