PKR minta kerajaan segera menangani isu melibatkan proses pendaftaran pengambilan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera, kata Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, ia selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menyatakan terdapat 1.4 juta rakyat yang mendaftar melalui MySejahtera tidak membuat pendaftaran dengan lengkap.
“Kita membaca laporan atau celoteh warga di ruang maya bahawa terdapat segelintir mereka yang terpaksa mendaftar berkali-kali sebelum proses pendaftaran disahkan di dalam sistem. Justeru, apa langkah kerajaan setakat sekarang dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Anwar juga meminta kerajaan memberi penjelasan mengenai usaha yang telah diambil dalam meyakinkan golongan anti-vaksin yang menolak pengambilan vaksin Covid-19 memandangkan ia tidak diwajibkan.
Beliau berkata adakah kerajaan sudah mengenal pasti, atau memikirkan bagaimana untuk meningkatkan kesedaran rakyat dan isu keselamatan vaksin Covid-19.
Ini kerana, katanya, terdapat golongan yang mempunyai kegusaran terhadap vaksin Covid-19 yang digunakan dalam PICK.
“Setakat ini, kerajaan belum menjawab tentang masalah ketelusan dalam mendapatkan vaksin serta meluncurkan program vaksinasi.
“Sejumlah RM3 bilion wang negara telah dibelanjakan bagi mendapatkan pelbagai jenis vaksin. Apa parameter yang diguna pakai dalam membuat keputusan bagi mendapatkan pelbagai jenis vaksin ini?
“Selain itu, terdapat beberapa laporan menyatakan tentang keberkesanan vaksin buatan Rusia iaitu Sputnik V yang jauh lebih murah. Tetapi mengapa baru sekarang kerajaan umumkan telah membeli vaksin berkenaan,” katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata terdapat laporan yang menyatakan kerajaan India menawarkan untuk memberi vaksin secara percuma kepada beberapa negara dan adakah Malaysia ditawarkan vaksin percuma tersebut?
Menurutnya, kerajaan pernah menyatakan sebelum ini bahawa pengeluar vaksin perlu berkongsi pengetahuan terkait pembuatan vaksin, sekiranya mereka mahu bekerjasama dengan Malaysia.
“Justeru, penting untuk rakyat dan negara tahu berapa cepatkah fasiliti pengeluaran vaksin ini akan dibangunkan.
“Mengapakah universiti tempatan serta badan penyelidikan tidak berada di barisan depan dalam mengkaji serta membangunkan vaksin?
“Kita punyai pengalaman dalam membangun penawar bagi virus Nipah sebelum ini, dan ia membuktikan kita punyai keupayaan bagi mengkaji, menyelidik dan membangunkan vaksin,” katanya.
Hari ini, Khairy dilaporkan berkata terdapat 1.4 juta pengguna MySejahtera yang sudah mendaftar namun tidak lengkap.
“Mereka hanya mengesahkan nama dan kad pengenalan sahaja tetapi tidak menjawab soalan berkaitan penilaian kesihatan dan tidak memasukkan alamat mereka.
“Ini mengakibatkan pendaftaran mereka tidak lengkap dan diharapkan 1.4 juta pengguna ini dapat melengkapkannya secepat mungkin,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/15/0-11-peratus-anggota-pentadbiran-wakil-rakyat-sudah-divaksin/

