Kembali tegakkan asas-asas sistem demokrasi – Amanah

0
1

PARTI Amanah Negara (Amanah) menyeru rakyat Malaysia menegakkan kembali sistem demokrasi demi kemakmuran negara.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, rakyat yang menjadi penentu untuk mengangkat parti-parti tertentu menjadi pemerintah melalui peti undi.
“Inilah sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Tetapi sistem ini telah hancur.

“Wakil-wakil rakyat boleh dijual beli dan bertukar-tukar parti setelah memenangi pilihan raya dengan undi rakyat. Undi rakyat tidak lagi berharga,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, majoriti rakyat hari ini tidak sukakan ahli politik.

“Tahun 2020 yang diharapkan akan berlakunya pencapaian tinggi negara seperti terkandung dalam Wawasan 2020 telah bertukar menjadi tahun kehancuran demokrasi.

“Saya sendiri bertanding pilihan raya sebanyak sembilan kali. Lima kali kalah dan empat kali menang.

“Parti-parti politik yang memperolehi majoriti di Dewan Rakyat akan menjadi pemerintah dan yang kalah menjadi pembangkang.

“Jika tidak puas hati dengan perjalanan pilihan raya, kita bangun menentang dengan bersuara dan berdemonstrasi. Di situlah lahirnya Bersih,” katanya.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, negara ini tidak mengamalkan sistem komunis yang memilih pemerintah daripada satu-satunya parti sebagaimana di China.

“Kita juga bukan mengamalkan ‘absulote monarki’ yang memberi kuasa mutlak kepada Raja untuk menentukan segala galanya.

“Kita mengamalkan demokrasi dan konsep Raja Berperlembagaan.Bagaimanapun, semuanya telah hancur.

“Oleh itu, marilah kita rakyat Malaysia berazam meletakkan kembali asas-asas demokrasi yang diwujudkan sejak sebelum Merdeka.

“Kita menyedari setiap pilihan raya ada kepincangan dan ia tidak sempurna. Tetapi demokrasi mesti dihormati. Yang majoriti menjadi pemerintah, yang minoriti menjadi pembangkang,” katanya.

Tambahnya, apabila wakil rakyat boleh dijual beli di pasaran politik negara, maka tidak mustahil wakil rakyat juga boleh dibeli di peringkat antarabangsa dan ia merupakan ancaman kepada negara.

“Oleh itu, kita semua rakyat Malaysia perlu bertindak segera untuk meletakkan kembali asas demokrasi untuk mengembalikan keharmonian hidup rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here