MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata isu kalimah Allah akan dibincangkan dalam Munaqasyah Khas bersama para Mufti, esok.
Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) bagi mendengar pendapat mereka serta mencari penyelesaian berhubung isu penggunaan kalimah Allah, hari ini.
Beliau berkata, Pembela telah mencadang resolusi yang boleh membantu menyelesaikan konflik isu ini.
“Sebentar tadi saya melakukan kunjungan ke ibu pejabat Pembela bagi mendengar sendiri pandangan dan buah fikiran pimpinan wakil NGO-NGO Islam berkenaan isu kalimah Allah.
“Resolusi yang diputuskan oleh Pembela semalam, saya ambil maklum dan akan diteliti dalam Munaqasyah Khas bersama para Mufti seluruh negara esok,” katanya.
Zulkifli berkata, beliau mengambil masa hampir 45 minit bertukar-tukar fikiran dan mencari titik persefahaman antara Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam isu tersebut.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa melihat NGO-NGO sebagai rakan kerja strategik dalam apa jua lapangan.
“Sinergi yang berkesan insya-Allah akan membawa banyak manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Turut hadir adalah bekas Presiden Muafakat, Ustaz Ismail Mina; Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahya; Timbalan Pengerusi Pembela, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.
Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

