Polis tidak dimaklumkan penganjuran Konvensyen DAP Perak

0
2

POLIS akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kekecohan semasa Konvensyen DAP Perak ke-19 di Ipoh semalam, termasuk pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan kawalan wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata siasatan itu dibuat menjurus kepada kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa kekecohan berlaku.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, konvensyen itu merupakan acara tertutup dan polis tidak dimaklumkan tentang penganjuran program berkenaan.

“Bagaimanapun penganjuran program itu dibenarkan mengikut SOP PKPB yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan 50 peratus kapasiti dewan.

“Pemantauan polis mendapati, jumlah kehadiran dan kapasiti dewan adalah memenuhi SOP PKPB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

A Asmadi berkata, laporan berhubung insiden itu telah dibuat di Balai Polis Sungai Senam pada hari kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kekecohan hanya membabitkan pertengkaran mulut antara perwakilan parti itu semasa konvensyen berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) kira-kira jam 11 pagi.

“Keadaan berjaya dikawal tanpa berlakunya kejadian tidak diingini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kekecohan tercetus di konvensyen itu susulan dakwaan berlaku penipuan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Negeri.

Dakwaan itu ditimbulkan oleh kumpulan dari gandingan Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran apabila pihak penganjur terus membenarkan perwakilan membuat pendaftaran untuk mengundi lebih daripada masa ditetapkan. 

Kekecohan itu menimbulkan persoalan mengenai pematuhan SOP apabila ramai yang dilihat ingkar terutama membabitkan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here