Ambil tindakan segera terhadap penganjur, ahli DAP langgar SOP

0
2

PIHAK berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap DAP, susulan kekecohan ketika Konvensyen DAP Perak di Ipoh semalam yang melanggar pelbagai prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan dan kawalan Covid-19. 

Gesaan itu dibuat Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razlan Rafii yang mahu kerajaan mengenakan tindakan sewajarnya terhadap ahli parti berkenaan serta penganjur yang melanggar SOP. 

“Semalam, berlangsung satu mesyuarat di Perak bagi parti DAP, seramai lebih 1,500 perwakilan hadir di dalam satu dewan. 

“Ada insiden pegang memegang, tarik menarik, cakap tanpa face mask, duduk berdekatan dan namakan sahaja peraturan SOP yang sepatutnya mereka patuhi.

“Saya mendesak pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) jangan double standard dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau turut berkongsi gambar insiden kekecohan pada mesyuarat berkenaan dan meminta polis mengambil tindakan terhadap individu-individu yang dirakam dalam gambar tersebut. 

“Rakyat mahu melihat apakah bentuk saman dan kompaun yang akan dikeluarkan terhadap mereka yang berada dalam gambar ini dan apakah tindakan polis terhadap penganjur yang gagal dalam mematuhi SOP.

“Rakyat rasa terhina apabila undang-undang ini dikenakan kepada mereka yang dikatakan melanggar SOP walau boleh dipertikaikan, namun apakah kerajaan berani menegakkan undang-undang apabila melihat mesyuarat DAP ini yang jelas telah melanggar SOP,” katanya. 

Menurutnya, jika kerajaan melihat dan menunding jari kepada mana-mana pihak dan memberi alasan dalam menyiasat atau tidak kes itu, maka tidak guna darurat yang ada sekarang dan wajar dibubarkan sahaja darurat. – Malaysiapost 


Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/14/konvesyen-dap-perak-kecoh-dakwa-ada-pengundi-hantu/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here