DAKWAAN berhubung kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikeluarkan di Kampung Rapat di Ipoh yang dipaparkan di Facebook ‘Kuan Chee Heng’ semalam, tidak benar.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata semakan pihaknya mendapati tiada kompaun seperti didakwa telah dikeluarkan oleh pasukan pemeriksa SOP PKPB dalam kalangan polis daerah Ipoh setakat ini.
“Semakan lanjut dengan pemilik Facebook Kuan Chee Heng juga mendapati bahawa individu yang mendakwa dikompaun, gagal dihubungi melalui nombor telefon yang diberikan oleh pemilik akaun laman sosial berkenaan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan yang ditularkan,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi, lapor Bernama.
Beliau berkata satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Polis Balai Kampung Rapat mengenai perkara yang tular itu bagi menyiasat kejadian.
Status yang dimuat naik itu turut dikongsikan laman Facebook ‘Najib Razak’ dan mendapat perhatian ramai. – Malaysiapost
Foto Kredit: Malay Mail

