AHLI Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini, menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Chendering, Kuala Terengganu.
Presiden PAS berusia 74 tahun itu antara penerima vaksin Covid-19 tertua di Malaysia selain bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 96, dan isteri Tun Dr.Siti Hasmah Mohamad Ali, 95.
Abdul Hadi berkata, vaksin Covid-19 adalah salah satu bentuk cara untuk meningkatkan imuniti kelompok (herd immunity) dalam kalangan masyarakat, supaya memiliki daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit tersebut.
“Fokus kerajaan sekarang ialah menjaga keselamatan rakyat sebagai keutamaan, dalam fasa kita berperang dengan wabak ini terutamanya keselamatan dari sudut kesihatan.
“Pada masa yang sama, pihak kerajaan berusaha memulihkan ekonomi rakyat yang teruk terjejas akibat wabak yang kita sedang hadapi.
“Para ulama’ menyatakan satu kaedah fiqh: ‘Kemudharatan itu disingkirkan’,”katanya dalam hantaran di Facebook.
Abdul Hadi berkata, sesuatu kemudaratan itu dihilangkan atau disingkirkan melalui pelbagai cara antaranya adalah dengan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa.
“Oleh itu, pengambilan vaksin turut termasuk dalam cara menyingkirkan kemudharatan. Maka, vaksinasi ini turut bertepatan dengan kaedah fiqh yang disebutkan di atas.
“Insya-Allah, dengan adanya vaksin ini kita dapat mengurangkan jangkitan wabak penyakit Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk mendaftarkan diri untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.
“Semoga usaha murni yang dijalankan ini diberkati oleh Allah SWT untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/07/tun-m-terima-suntikan-vaksin-di-langkawi/

