Pengerusi kuil ditahan kes perebutan kuasa

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

[Jenayah]
Seorang pengerusi persatuan pengurusan kuil ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan terhadap sepasang suami isteri di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata suspek berusia 41 tahun ditahan pada jam 3.15 pagi di kawasan Sea Park.

“Kita turut merampas dua pucuk pistol jenis Compact Cal 9mm bersama lapan butir peluru dan SRA Pistol Elektra 9×19 9mm bersama lima butir peluru di pejabat suspek di Balakong, Cheras jam 11.30 malam, hari yang sama.

“Siasatan awan mendapati suspek mempunyai lesen senjata api sah yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

“Bagaimanapun, saya telah mencadangkan agar kelulusan lesen senjata api suspek dikaji semula di atas kepentingan dan keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, siasatan juga mendapati berlaku perselisihan faham di antara suspek yang juga pengerusi baharu dengan pengerusi lama persatuan berkenaan.

“Perselisihan faham itu mengenai perebutan kuasa dalam pengurusan kuil di kawasan Sea Park,” katanya.

Menurutnya, terdapat dua laporan polis dibuat ke atas suspek mengenai isu tersebut.

“Laporan polis itu dibuat oleh pengerusi lama persatuan berkenaan di Balai Polis Sea Park pada 13 Ogos lalu,” katanya.

Nik Ezanee berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan ke atas kedua-dua pihak bertelagah bagi meneliti pembabitan dan pengaruh Geng 21 dan Geng 04 di dalam pertelingkahan itu.

“Sekiranya terbukti, tindakan pencegahan akan menyusul. Kita akan melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, suspek telah ditahan reman sehari sebelum diberi jaminan polis kerana tempoh reman telah tamat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.