Pemilihan Bersatu: Pengalaman luas sebagai wakil rakyat jadi ‘cagaran’ Rosol

0
1

Fitri Nizam

Pengalaman tiga penggal menjadi wakil rakyat dan pernah memegang jawatan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu menjadi ‘cagaran’ Datuk Rosol Wahid untuk bertanding jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Ketua Bahagian Bersatu Hulu Terengganu itu berkata, beliau sedia mencurahkan pengalaman yang ada dalam dunia politik untuk membantu mengukuh dan memperkasakan parti berasaskan orang Melayu itu di peringkat nasional.

Justeru, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan MPT yang akan dipertandingkan pada 22 Ogos depan.

“Saya tak mahu berjanji banyak, Insya-Allah saya boleh bantu apa yang perlu untuk parti Bersatu kerana pengalaman saya sebagai Adun selama tiga penggal dan kini Ahli Parlimen Hulu Terengganu.

“Saya juga pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu dan yakin pengalaman itu sedikit sebanyak dapat diguna pakai membantu Presiden dan rakan-rakan dalam Bersatu untuk mengukuh dan memperkasakan parti ini,” katanya kepada Malaysia Post.

Bekas Adun Ajil itu berkata, Bersatu kini mempunyai seorang presiden yang berwibawa malah pada pendapatnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pemimpin terbaik pernah dilahirkan di negara ini.

“Beliau (Muhyiddin) menjadi pengemudi ketika suasana politik tidak stabil di mana peralihan kuasa tanpa pilihan raya pertama kali berlaku di negara ini, malah berhadapan ‘serangan’ wabak Covid-19.

“…tetapi nampaknya negara dapat ditadbir dengan baik, walaupun pertumbuhan ekonomi agak perlahan kesan pandemik Covid-19, namun kita dapat lihat ada peningkatan ekonomi. Rakyat gembira, negara aman.

“Inilah masanya untuk kita melihat kehebatan seorang kapten kapal, tengok bagaimana beliau mengemudi kapal ketika gelombang besar dan dipukul ribut.

“Ketika air tenang semua orang boleh bawa kapal, tapi apabila berlaku gelombang dan ribut, taufan dan ombak bergelora, ketika itu kehebatan kapten kapal dapat diketahui sama ada mampu mengemudi ataupun tidak,” katanya.

Melihatkan perkara itu, Rosol berkata, beliau terpanggil untuk membantu Muhyiddin selaku Presiden Bersatu untuk terus mengukuh dan memperkasakan parti di peringkat akar umbi mahu pun barisan kepimpinan.

“Walau apa pun berlaku, walau apa pun cabaran yang dihadapi, memang kita utamakan ketua. Jadi itulah adat ataupun adab berketua dan berpengikut. Kita sebagai pengikut kena akur apa yang ketua nak dan kena hormat,” katanya.