Impian pesara, anggota ATM milik rumah sendiri jadi kenyataan

0
2

“SYUKUR akhirnya kami akan memiliki kediaman sendiri yang selesa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan,” kata pesara tentera, Abdul Rashid Maritus, 46.

Beliau antara tiga warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertuah menerima unit pangsapuri melalui Program ‘Satu Anggota Satu Rumah’ (SASaR) secara percuma.

Abdul Rashid yang baru setahun bersara berkata, impiannya selama ini untuk memiliki rumah sendiri kini menjadi kenyataan dan lebih menggembirakan ia diberi secara percuma oleh kerajaan.

Rumah SASar di Sungai Besi yang dirasmikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

“Terima kasih kepada ATM, kepada Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Panglima ATM, pemaju dan semua pihak yang terlibat dalam projek ini kerana memberi peluang kepada saya untuk memiliki rumah SASaR.

“Projek ini pasti dapat menjamin kebajikan kami warga tentera selain veteran dalam memiliki rumah sendiri terutama di kawasan bandar,” katanya ketika ditemui di Majlis Pecah Tanah Program SASaR Satria Residensi di Sungai Besi yang dirasmikan Ismail Sabri, hari ini.

Abdul Rashid yang sebelum ini bertugas di Kem Batu 10, Kuantan, mendapat unit pangsapuri jenis A berkeluasan 1,000 kaki persegi (93 meter persegi) bernilai RM150,000.

Difahamkan ketiga-tiga penerima unit SASaR percuma itu masing-masing dipilih dari setiap sayap ATM iaitu Tetera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bagi Staf Sarjan, Ersham Abdul Malek, 37, pula berkata dia sanggup menunggu lama untuk memiliki rumah sendiri kerana yakin kerajaan pasti menyediakan inisiatif seperti SASaR bagi warga tentera mendapat kediaman sendiri.

“Tanpa SASaR ini, sudah pasti kami anggota tentera sukar untuk membeli rumah seumpama ini kerana harga kini sangat tinggi.

“Hanya dengan projek sebeginilah kami merasa untuk memiliki rumah selesa lengkap segala prasarana dengan harga yang sangat mampu milik,” katanya yang kini bertugas di 96 Regimen Semboyan Tentera Darat.

Terdahulu Ismail Sabri memaklumkan, SASaR di Sungai Besi adalah projek permulaan dengan 3,500 unit rumah jenis pangsapuri yang kesemuanya sudah habis terjual dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan kini menyasarkan pembinaan sehingga 25,000 rumah untuk warga tentera dan veteran menjelang 2030. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/13/sasar-25000-unit-rumah-untuk-anggota-pesara-tentera/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here