Nilam Oshman
PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai, Kinta, Perak ditamatkan mulai esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD terbabit yang dijadualkan tamat pada 14 Mac ini.
Katanya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 619 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 389 kes telah dilaporkan.
“KKM juga mengesahkan tiada kes baharu Covid-19 direkodkan dan kluster adalah terkawal, manakala semua kes positif serta kontak rapat telah diasingkan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Asrama Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai, Kinta, Perak pada 14 Mac 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan Pelanjutan PKPD di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Batang Padang, Perak bermula 16 Mac hingga 29 Mac ini.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di kawasan itu yang dijadualkan tamat pada 15 Mac 2021.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,660 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 556 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“KKM turut mengesahkan terdapat 562 lagi baki sampel saringan sedang menunggu keputusan serta masih berlaku penularan kes melibatkan tahanan di penjara itu.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Batang Padang, Perak bermula 16 Mac sehingga 29 Mac 2021,” katanya. -Malaysiapost

