SASARAN fasa pertama Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk memvaksin sekurang-kurangnya 500,000 petugas barisan hadapan, mencapai kemajuan lebih 55 peratus dalam tempoh 17 hari ia dilaksanakan.
Ia berdasarkan data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang menunjukkan seramai 275,851 petugas barisan hadapan sudah menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech setakat semalam.
Berdasarkan data yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook hari ini, kapasiti pemberian vaksin harian di Malaysia berada pada kadar 25,942 dos sehari.
Selangor kini menjadi negeri yang mengagihkan vaksin paling banyak dengan 33,163 dos, diikuti Sarawak (29,052), Perak (28,463), Kuala Lumpur (28,244), Pahang (21,841), Sabah (21,708), Johor (20,276), Kedah (15,546), Pulau Pinang (15,459) dan Kelantan (15,339).
Terengganu pula sudah mengagihkan 13,070 dos, selain Negeri Sembilan (12,197), Melaka (7,733), Perlis (6,591), Putrajaya (3,827) dan Labuan (2,342).
PICK bermula 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima vaksin Covid-19, empat hari selepas bekalan vaksin pertama negara keluaran Pfizer-BioNTech tiba di Malaysia. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/09/hampir-170000-sudah-terima-vaksin-dr-noor-hisham/

