Kompaun RM10,000 boleh dirayu – Ismail Sabri

0
1

MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tiada sebarang isu jika anggota polis mengenakan hukuman kompaun RM10,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, kompaun mengikut Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021 adalah terpakai kepada semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, ia turut terpakai di semua negeri atau lokaliti selagi SOP terpakai sama ada di kawasan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Pemulihan (PKPP).

“Setiap akta undang-undang mempunyai hukuman denda dan kompaun maksimum tersendiri, begitu juga Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Polis juga tidak mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah kompaun itu di lapangan memandangkan ia sudah termaktub dalam akta itu. Tiada isu.

“Jumlah kompaun ini boleh dirayu dan mungkin apabila dirayu, mereka (pesalah) mungkin dikenakan kompaun RM50 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Program Satu Rumah Satu Anggota (SASaR), di Kem Transmitter, di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata, mengikut ordinan itu orang ramai yang didapati melanggar PKP akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac.

Bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikompaun sebanyak RM50,000.

Sebelum ini, di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, beliau terkejut apabila melihat ramai warga kota mahu pulang ke kampung halaman semalam, sekali gus menjadi punca kesesakan di sekitar Kuala Lumpur akibat Sekatan Jalan Raya (SJR) yang ketat.

“Saya tidak boleh ulas (kesesakan semalam) kerana ia adalah gerak kerja polis dan perkara berkenaan perlu dibincang dengan polis.

“Tetapi saya terkejut apabila ramai yang mahu balik kampung dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana tiada aktiviti rentas negeri boleh berlangsung,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/13/kompaun-10000-anwar-bidas-kerajaan-pn-tak-peduli-nasib-rakyat/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here