AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kompaun RM10,000 kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah melampau.
Meskipun beliau bersetuju hukuman kompaun dikenakan sebagai pengajaran, namun nilai RM10,000 adalah terlalu berat untuk diterima rakyat.
“Pertama, saya setuju memang harus ada hukuman dan denda kepada mereka yang langgar SOP.
“Masalahnya, mengapa hukuman ini terlalu melampau? RM10,000 bukan jumlah yang kecil. Boleh buat modal meniaga, bayar sewa rumah berbulan-bulan, bayar makan minum keluarga,” katanya di Facebook, hari ini.
Sambil memberikan beberapa contoh, pengasas parti Muda itu kesal dengan nilai kompaun yang tinggi ini bukan untuk mendidik rakyat untuk mematuhi SOP.
“Sebelum ini banyak kes terpencil tapi kena denda RM1,000. Ada pelajar turunkan mask di stesen keretapi, kena denda RM1,000. Ada seorang kakak keluar kereta tak pakai mask, kena denda RM1,000. Ada penduduk di Sabah kena denda RM1,000 seorang kerana naik bas melebihi kapasiti penumpang.
“Habis, kalau mereka kena denda sekarang, kena bayar RM10,000? Melampau sungguh.Kalau nak merayu jumlah denda, macam-macam proses rakyat kena buat.
“Semalam sahaja, ada 330 individu kena denda RM10,000 seorang. Maksudnya, sudah cecah RM3.3 juta jumlah denda semalam sahaja. Melampau lah begini.
“Hukuman SOP adalah untuk memberi peringatan, bukan untuk memiskinkan dan menyusahkan mereka cari wang besar begitu,” katanya.
Dalam usaha mengekang Covid-19, kerajaan telah menaikkan nilai kompaun melanggar SOP PKP daripada RM1,000 kepada RM10,000 selari dengan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 11 Mac. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/12/ingkar-sop-330-individu-dikompaun-rm10000-setakat-ini/

