PN akan terus kekal dalam tempoh panjang – Muhyiddin

0
3
PUTRAJAYA, April 25 -- Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin during special interview at his office at Perdana Putra today. --fotoBERNAMA (2020) COPY RIGHTS RESERVED

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai tawaran baharu kepada rakyat Malaysia dan akan terus kekal untuk tempoh yang panjang.

Pengerusi PN itu, berkata PN mahu kekal sebagai sebuah gabungan politik yang berkongsi aspirasi negara untuk generasi akan datang.

“Kerajaan PN berperanan penting dalam mewujudkan politik stabil, mengekalkan keharmonian kaum, menjunjung tadbir urus baik dan menegak kedaulatan undang-undang.

“Kita mahu memimpin Malaysia dengan lebih cekap, berkesan dan kompeten. Kita ingin terus merasai denyut nadi rakyat dan memenuhi keperluan mereka dengan penuh prihatin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan yang ke-49, secara maya, hari ini.

Muhyiddin berkata, PN mempunyai aspirasi yang tinggi untuk terus memelihara perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

“Kita komited untuk mentadbir negara ini dengan berintegriti dan berwibawa demi memelihara kesejahteraan serta kebajikan rakyat seluruhnya,” katanya.

Parti Gerakan diterima menganggotai gabungan PN secara rasmi pada 11 Februari lalu, selepas diluluskan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi PN.

Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong sebelum ini dilaporkan berkata, persidangan itu akan berlangsung selama dua hari, bermula dengan persidangan Pemuda dan Wanita pada malam tadi.

Ini akan disusuli Persidangan Perwakilan Nasional pada Sabtu yang didahului dengan ucapan alu-aluan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebelum perasmian oleh Muhyiddin.

Antara agenda persidangan ialah cadangan pindaan perlembagaan parti melibatkan Artikel 5 dan Artikel 6 yang berkaitan emblem dan bendera parti; serta Artikel 9.1 untuk membuka keahlian kepada individu berusia 16 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here