SATU kaedah pertanian baharu bagi penanaman balak yang dinamakan Agroforest, bakal diusahakan oleh syarikat Yang Mulia Tunku Rosli & Ruslan International Berhad (YMTR) dengan kerjasama NQ Holding Sdn Bhd (NQH-SB).
YMTR dalam satu kenyataan, berkata perusahaan Agroforest Balsa ini akan memberi pulangan besar sehingga mencecah lebih RM1 bilion untuk dikongsi bagi setiap 100 hektar untuk tempoh 20 tahun dan hasil boleh dinikmati bagi setiap lima tahun tempoh matang untuk dijual dipasaran.
“Semua pemilik tanah pertanian atau terbiar yang berpotensi kepada pertanian ini, dijemput menyertai perniagaan perusahaan balak bersama kami, yang menjanjikan pulangan yang tinggi bagi setiap lima tahun penanamannya.
“YMTR akan memula proses mengenal pasti rakan strategi (pemilik tanah) serta melatih usahawan dan pekerja perusahaan ini sebelum akhir suku tahun ini dan akan memulakan proses awal penanaman bagi suku ketiga 2021 dengan penyediaan pelaburan melebihi RM250 juta untuk fasa pertama.
“Kaedah usahasama ini adalah konsep jaminan pasaran dengan setiap batang balak balsa akan dibeli kembali oleh pihak YMTR mengikut nilai pasaran semasa,” katanya kepada Malaysiapost.
Menurut kenyataan itu, kayu balsa tersebut adalah kayu yang mempunyai nilai pasaran dan permintaan tinggi.
“Balak balsa ini mula diusahakan sebagai projek percubaan NQ-HSB di Malaysia sejak 2017.
“Justeru, dengan tanaman atas tanah serta cuaca yang tidak menentu di bumi Malaysia, projek percubaan ini adalah satu kejayaan yang boleh terus diusahakan dalam industri pembalakan,” katanya. -Malaysiapost

