Culik peniaga telefon bimbit: Tiga suspek ditahan

0
3

TIGA lelaki ditahan polis selepas disyaki melarikan dan mengurung peniaga telefon bimbit, Muhammad Amirul Shafiq, 25, di sebuah rumah di Ayer Keroh, Melaka semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, suspek yang ditahan terdiri lelaki berusia 21 tahun bekerja sebagai juruteknik, penganggur berusia 37 tahun dan pemandu e-hailing di sekitar Melaka pada jam 11 malam tadi.

“Ketiga-tiga suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras serta direman selama enam hari bermula hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
“Polis juga ingin merakam terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat lelaki berusia 23 tahun memaklumkan mangsa keluar menghantar tiga telefon bimbit kepada suspek di sebuah plaza di Sungai Besi kira-kira 5 petang pada 6 Mac lalu.

“Pembeli bersetuju membeli telefon bimbit dengan harga RM17,000 namun pengadu berasa khuatir apabila mangsa masih tidak pulang sehingga lewat malam.

“Susulan itu, dia bersama bapa mangsa mencari di kawasan tempat pencarian tetapi hanya menemui motosikalnya sahaja,” katanya.

Menerusi laporan media hari ini, Muhammad Amirul dikatakan dikurung sepanjang lima hari di sebuah rumah di Ayer Keroh selepas mahu menghantar tiga unit telefon iPhone 12 berharga lebih RM17,000 kepada lelaki berkenaan.

Mangsa hanya beberapa kali sahaja diberi makan nasi dan biskut malah kadangkala tidak diberi makan ketika dikurung oleh suspek. – Malaysiapost

Artikel berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here