Gaduh: Tujuh individu ditahan, empat masih diburu

0
1

TUJUH daripada 11 individu yang disyaki terlibat dalam dua pergaduhan di kawasan flat Impian Baiduri, Sungai Way, Petaling Jaya ditahan polis lewat semalam dan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faizal berkata, siasatan awal mendapati 11 individu berumur antara 16 hingga 30 tahun yang terlibat dalam pergaduhan itu disyaki berada di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, polis sedang mengesan empat lagi suspek yang terlibat dalam insiden tersebut.

“Dalam kejadian pertama pada jam 11 malam semalam, yang berpunca daripada salah faham di tempat pakir flat tersebut telah menyebabkan seorang lelaki berumur 34 tahun mengalami lebam di bahagian badan dan dia kini ditahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Selain itu, cermin dua kereta telah dipecahkan dan motosikal ditumbangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, dalam insiden kedua yang berlaku pada jam 1.30 pagi hari ini, sebilah parang digunakan, menyebabkan seorang lelaki berumur 20 tahun cedera di betis kiri dan dahi.

“Mangsa kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, tujuh suspek yang ditahan itu akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya esok untuk permohonan reman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor R Sangaran di talian 012-5390380 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662176.– Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here