Polis temui lelaki hilang lepas mahu ‘COD’ iPhone

0
2

“SEPANJANG lima hari dikurung di dalam sebuah rumah di Ayer Keroh, saya hanya beberapa kali makan nasi dan biskut malah kadangkala tidak diberi makan,” kata Muhammad Amirul Shafiq, 25.

Dia tidak menyangka lelaki yang mendakwa ingin membeli telefon bimbit dijualnya itu akan membawa lari dan memerangkapnya.

Menceritakan kejadian itu, Nuhammad Amirul berkata pada mulanya dia bertemu dengan lelaki tersebut untuk menghantar tiga unit telefon pintar iPhone 12 berharga lebih RM17,000 di premis perniagaan di Sungai Besi, jam 7.30 malam Sabtu lalu.

“Saya tunggu hampir sejam kerana lelaki itu memberi alasan ingin mengeluarkan wang terlebih dahulu.

“Sebaik dia tiba, lelaki itu minta saya mengikut masuk ke dalam keretanya di parkir di bawah banggunan kononnya tidak mahu orang nampak ketika mengira wang yang dibawanya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

Namun ketika berada di dalam kereta itu bersama dua lagi lelaki lain, katanya, pembeli itu terus menyembur ubat nyamuk ke mata dan menumbuk sebelum mengikat tangan dan mulut dengan pita pelekat.

“Saya cuba menjerit meminta pertolongan namun tiada sesiapa yang menyedari sebelum mereka bergerak ke sebuah farmasi di sekitar Sungai Besi.

“Saya kemudian diberi 10 biji ubat dan dipaksa makan menyebabkan dalam keadaan separuh sedar,” katanya.

Menurut Muhammad Amirul, dia kemudian dibawa ke rumah di Ayer Keroh, Melaka dan dikurung bersama lelaki lain dipercayai rakan mereka.

“Pembeli terbabit bersama dua lagi lelaki kemudian meninggalkan saya bersama rakan mereka di rumah itu pada Ahad lalu.

“Malah rakannya yang mengawal saya itu turut menyamar kononnya dia anggota polis dan menahan saya kerana melakukan kesalahan,” katanya.

Tambahnya, dia turut bermimpi dirinya diselamatkan polis dan akhirnya menjadi kenyataan apabila dibebaskan selepas polis menyerbu rumah itu malam tadi.

Sementara itu, bapanya, Sudirman Daek, 50, menerima berita anaknya diselamatkan sekitar jam 12.30 tengah malam tadi.

“Saya bersyukur anak selamat dan berterima kasih kepada pihak polis yang mengesan dan menyelamatkan anak.

“Difahamkan mereka yang melakukan perbuatan itu ke atas anak saya sudah ditahan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon mengesahkan mangsa sudah diselamatkan dan akan memberi kenyataan media berhubung kejayaan itu.

Media sebelum ini melaporkan seorang bapa buntu memikirkan nasib anak lelakinya selepas gagal dalam usaha menjejaki lelaki itu sejak dilaporkan hilang di Sungai Besi di Kuala Lumpur, Sabtu lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here