POLIS Cheras mengesahkan individu yang dikompaun RM10,000 seperti tular di media sosial hari ini, didapati tidak mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera atau buku daftar disediakan oleh pengusaha premis.
Individu tersebut didapati ingkar sepertimana diperuntukkan dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon seterusnya menafikan individu terbabit telah mendaftarkan diri melalui mana-mana saluran disediakan pengusaha premis.
Katanya, individu itu dikesan gagal berbuat demikian ketika pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah restoran di Bukit Jalil semalam, lapor Malaysia Gazette.
Terdahulu hari ini, tular di media sosial seorang individu dikompaun RM10,000 kerana gagal mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera ketika pemeriksaan pihak berkuasa di sebuah premis.
Mulai semalam, kompaun sehingga RM10,000 boleh dikenakan kepada individu yang melanggar SOP ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan Covid-19 berbanding RM1,000 sebelum ini.
Menerusi Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan kompaun sehingga RM50,000.
Selain itu, orang ramai yang melakukan kesalahan Ordinan Darurat boleh ditangkap, manakala individu dijangkiti atau disyaki terkena jangkitan atau menjadi kontak pula boleh dipakaikan dengan peranti pengesanan.
Pemasyhuran ordinan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong yang berpuas hati tindakan serta-merta dikehendaki bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, 11 Januari lalu. – Malaysiapost

