Lebih setahun ‘mendung’ berterusan, kini ‘mentari’ muncul lagi

0
2

HARI ini 12 Mac, genaplah setahun wabak coronavirus atau Covid-19 diisytihar sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut perkongsian di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pandemik merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada komuniti atau daerah semata-mata.

Covid-19 telah menepati kriteria pandemik kerana wabak ini mengancam manusia sejagat di seluruh dunia.

“Pandemik Covid-19 bermula daripada penularan wabak di peringkat epidemik yang merebak secara meluas sehingga tidak dapat dikawal dan telah membunuh 2.6 juta orang setakat ini.

“Antara pandemik yang pernah berlaku adalah wabak Antonine, wabak Jusne serta ‘The Black Death’ yang dipercayai membunuh puluhan juta orang sekitar abad ke-14.

“Sebelum Covid-19 menyerang, HIV/AIDS adalah satu-satunya pandemik yang diramal mampu membunuh sehingga 100 juta orang pada tahun 2025,” catat KKM.

Di Malaysia, menurut KKM lagi, pandemik Covid-19 telah memasuki gelombang ketiga dan menyebabkan 1,200 kematian setakat semalam.

“Walaupun kes harian masih tinggi tapi berada dalam trend penurunan dan telah enam hari mencatatkan kes di bawah 2,000. “Penurunan kes ini berlaku secara perlahan-lahan dan dijangka stabil sekitar dua angka pada Mei.

“Pendekatan untuk mengimbangi keperluan kesihatan rakyat dan kestabilan ekonomi yang diambil kerajaan menjadi faktor penurunan kes agak perlahan dan ini sememangnya telah dijangka,” katanya.

Menurut KKM, penghasilan vaksin dan kejayaan kerajaan mendapat bekalan vaksin yang mencukupi ketika semua negara sedang ‘berebut’ adalah satu sinar harapan baharu, ibarat mentari muncul lagi selepas mendung berterusan lebih setahun.

Katanya, penularan jangkitan hanya boleh dikawal menggunakan vaksin jika imuniti berkelompok atau Herd Immunity terbentuk dan ia boleh dicapai selepas 80 peratus populasi di Malaysia mengambil vaksin.

“Selepas lebih setahun kita terpaksa berperang dengan musuh yang tidak nampak, inilah peluang untuk kita menang.

“Jika 126,000 orang menerima vaksin setiap hari, kita dijangka nencapai lebih awal sasaran 80% populasi sekali gus imuniti berkelompok dibentuk lebih awal.

“Walaupun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi Fasa 3 hanya akan bermula Mei, pendaftaran awal akan memastikan kelancaran proses vaksinasi dan mencapai sasaran 126,000 suntikan sehari,” kata KKM.

Menurutnya lagi, banyak ‘kebebasan’ akan kita kecapi lebih awal jika sasaran imuniti berkelompok dicapai lebih awal.

“Kita merancang, kita berusaha dan kita berdoa, kepada Tuhan juga kita berserah. Vaksin Covid-19, lindung diri lindung semua.” – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here