Kalimah Allah: Ikatan gesa peguam negara rayu keputusan Mahkamah Tinggi

0
2
shahir adnan ikatan

PEGUAM Negara digesa mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan keagamaan mereka. 

Ketua Pemuda Parti Ikatan Malaysia (Ikatan) Shahir Adnan berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu wajib dipandang serius kerana penggunaan nama Allah oleh penganut agama lain boleh menggugat keharmonian, mengelirukan masyarakat dan mengguris hati umat Islam di negara ini. 

Katanya, tindakan menjaga dan mempertahan agama perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk menjaga kesucian nama Allah daripada dicemari dan disalah guna melalui pentakrifan terpesong oleh penganut agama lain. 

“Ikatan sekali lagi menyeru pihak Peguam Negara untuk bertindak tegas dan cepat bagi menjaga keharmonian rakyat di negara kita.

“Berdasarkan realiti dan situasi semasa, pihak berkuasa perlu menetapkan larangan yang tegas berhubung penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Menurut Shahir, nama Allah adalah kata nama khas yang merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan tuhan sekalian alam yang disembah oleh umat Islam. 

“Ia adalah lafaz al-Qur’an dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam apa-apa bahasa. Pemahaman terhadap nama Allah mestilah seperti ditegaskan dalam akidah Islam, sesuai dengan landasan iman dan bebas daripada salah tafsir atau unsur syirik yang menyekutukan Allah.

“Konsep keesaan Allah merujuk pada segenap zat, sifat, nama-nama dan perbuatan-perbuatan Allah yang merupakan Zat Maha Agung yang tidak ada yang berkongsi nama tersebut denganNya. 

“Maka, penggunaan nama Allah oleh agama lain contohnya, merujuk kepada tuhan yang bersifat lain daripada tuhan umat Islam, iaitu Allah, adalah tidak masuk akal. Bagi umat Islam, Allah itu bersifat esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan. 

“Bagi penganut agama Kristian, Triniti merupakan prinsip ketuhanan bagi agama mereka, dan ia secara jelas berbeza dengan konsep ketuhanan dalam Islam,” jelasnya. 

Semalam, Hakim Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau melarang pengimportan bahan pendidikan.

Selain perkataan ALLAH, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Bagaimanapun, penggunaan perkataan itu perlu disertakan dengan penafian hanya untuk orang Kristian dan lambang salib di muka hadapan kulit buku. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here