PKPD 2 kampung di Sabah dilanjutkan

0
3
pkp sekatan jalan raya

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sinsingon dan Lotong di Nabawan, Sabah dilanjutkan hingga 26 Mac ini, susulan masih ada kes positif Covid-19 di dua lokaliti berkenaan. 

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, yang dijadualkan tamat esok. 

Menurutnya, sehingga kini Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 674 ujian saringan dan daripada jumlah itu 81 kes positif Covid-19 telah direkodkan. 

“KKM mengesahkan terdapat sejumlah 322 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan masih terdapat kes positif baharu dilaporkan dalam kalangan penduduk di lokaliti ini. 

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, bermula 13 sehingga 26 Mac 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sementara itu, PKPD di Penempatan Sentosa Timur Fasa 2, Sibu pula ditamatkan esok seperti yang dijadualkan. 

“Sehingga kini, KKM melaksanakan 1,311 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 13 kes telah dilaporkan. 

“KKM mengesahkan terdapat penurunan kes, kluster adalah terkawal dan kesemua kes positif serta kontak rapat telah diasingkan,” katanya. 

Beliau berkata, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di lokaliti berkenaan. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here