Lokman Adam hantar surat sertai semula Umno

0
2
Datuk Lokman Noor Adam

BEKAS Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam mengakui akan menghantar surat rayuan buat kali ketujuh kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyertai semula parti itu.

Lokman yang dipecat daripada Umno pada 7 Februari tahun lalu berkata, beliau berbuat demikian bagi membolehkannya terus bekerja untuk Umno dan rakyat.

Katanya, surat rayuan terbaharu yang akan dihantar kali ini adalah yang ketujuh sejak dipecat lebih setahun lalu.

“Saya akan hantar surat permohonan ini dalam masa terdekat. Saya berharap Allah lembutkan hati Ahli Majlis Tertinggi (MT) untuk menerima semula saya sebagai Majlis Tertinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Malaysia Gazette.

Lokman berkata, berdasarkan pengamatannya hanya Umno boleh mentadbir negara dengan baik dan membela nasib rakyat.

Beliau juga mengakui tidak berkecil hati atas apa yang berlaku dan tindakannya sebelum ini hanyalah meluahkan apa yang dirasakan terbaik untuk menyelamatkan Umno.

“Bukan saya tidak boleh mewujudkan parti sendiri tetapi jika pendekatan itu yang saya pilih, saya khuatir akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap Umno. Jadi, saya akan merayu untuk masuk semula buat kali terakhir sebelum mencuba kaedah lain,” katanya.

Mesyuarat MT Umo pada 7 Februari 2020 memutuskan memecat Lokman sebagai ahli kerana beberapa tindakan yang dianggap menyalahi etika parti.

Antaranya beliau dikatakan cuba mencipta persepsi kononnya Ahmad Zahid bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan kerajaan bersama dengan PAS. – Malaysiapost


Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/12/lokman-adam-cadang-agong-lantik-pm-interim/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here