Undi 18 tahun tak jadi: Penghinaan terhadap proses demokrasi Parlimen

0
2

Nurul Huda Abhar

KENYATAAN Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim bahawa kelayakan mengundi di usia 18 tahun tidak dapat diteruskan disifatkan sebagai penghinaan terhadap proses demokrasi Parlimen.

Pimpinan Muda Parti Pejuang Tanahair dalam kenyataan hari ini, berkata kenyataan Rais itu bukan sahaja tidak menghormati lunas perlembagaan malah memperkecilkan kemampuan anak muda.

“Sungguhpun Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu telah sempurna diluluskan di Parlimen, kenyataan YDP Dewan Negara itu, bukan sahaja tidak menghormati lunas perlembagaan malah memperkecilkan kemampuan anak-anak muda dalam membuat pilihan dalam pilihan raya.

“Dalam tempoh 19 bulan yang telah berlalu selepas RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan, tidak mungkin senarai pengundi muda masih tidak berjaya dihasilkan. Alasan politik yang diberikan adalah tidak dapat diterima sama sekali.

“Bahkan, segala medium yang mungkin mengalami kesulitan boleh dicari jalan keluar agar membolehkan partisipasi anak muda diperluaskan dalam menentukan masa depan negara melalui peti undi,” kata kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan bersama itu membabitkan Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin; Ketua Pejuang Muda, Abu Hafiz Salleh Hudin dan Ketua Pejuanita Muda, Nurul Ashikin Mabahwi.

Sementara itu, kenyataan itu turut menegaskan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seharusnya juga menyatakan pendirian tentang kenyataan yang dikeluarkan Rais agar rakyat dan anak-anak muda dapat mengetahui pendirian muktamad tentang kedudukan Undi 18.

“Kami menolak sekeras-kerasnya kenyataan YDP Dewan Negara tersebut yang telah menghina proses demokrasi Parlimen negara dan berharap Undi 18 dapat diteruskan seperti yang telah dirancang,” ujarnya.

Semalam, Rais dilaporkan membuat kenyataan bahawa kelayakan mengundi pada pilihan raya umum di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Rais berkata, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

“Ini soal politik. Walaupun sudah lulus, tetapi memberikan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun itu memakan masa yang sangat lama. Ia kena diambil daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan senarai konstituensi atau kawasan-kawasan (di seluruh negara).

“Ia sekali gus melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan terdedah dengan tempoh masa yang lama.

“Setelah melihat situasi yang sebenar, undi 18 tahun ini tidak praktikal untuk diadakan pada musim ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

https://malaysiapost.com.my/2021/03/11/tak-wajar-potong-gaji-ahli-parlimen-senator-rais/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here