PEGAWAI dan anggota polis seharusnya tidak terpengaruh dengan sebarang maklumat tidak benar mengenai vaksin Covid-19, sebaliknya perlu menjadi contoh kepada orang awam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya mengesan terdapat segelintir pegawai dan anggota yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.
Shafien berkata, pihaknya akan memanggil golongan terbabit untuk bersemuka dan mendengar alasan berikutan keengganan itu.
“Saya dapat tahu ada dalam kalangan pegawai dan anggota polis yang tersenarai sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19 enggan disuntik dan akan panggil mereka untuk tahu masalah yang dihadapi.
“Kita tak mahu ada dalam petugas barisan hadapan ini tergolong dalam golongan antivaksin kerana mereka seharusnya menjadi contoh kepada orang ramai,” katanya selepas majlis Perhimpunan Bulanan di Dewan Dato’ Ab Rahman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan, daripada 3,922 pegawai dan anggota polis yang tersenarai, seramai 1,018 sudah menerima vaksin Covid-19 di seluruh Kelantan setakat ini.
Ujarnya, bagi fasa pertama, seramai 2,547 pegawai dan anggota polis disenaraikan untuk menerima suntikan imunisasi terbabit.
“Hari ini, kami bertolak ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan vaksin tambahan untuk keperluan tiga lagi daerah iaitu Kota Bharu, Kuala Krai dan Pasir Mas,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

