Siasatan kes 1MDB: Zeti patut letak jawatan Pengerusi PNB – Puad

0
3

Nurul Huda Abhar

BEKAS Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz secara moralnya patut meletak jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang dipegang kini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zakarshi berkata, ia berikutan Zeti dan keluarganya masih dalam siasatan berhubung dana membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ini membabitkan soal intergriti, ketelusan dan keboleh percayaan kepada institusi kerajaan. Ia menarik perhatian beberapa agensi berita Antarabangsa seperti Asia Nekkei dan Reuters.

“Suami Zeti dan dua anaknya dituduh terima hampir RM700 Juta daripada Jho Low. Polis Singapura telah membuat siasatan. Manakala, akuan bersumpah yang ditandatangani oleh suami Zeti disahkan tulen.

“Polis Singapura juga telah serah laporan itu kepada BNM di mana ketika itu Zeti masih lagi gabenor BNM,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Mohd Puad turut mempersoalkan adakah laporan yang diterima daripada polis Singapura itu telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya lagi, dan jika ianya tidak diserah kepada PDRM dan SPRM maka adakah tindakan itu boleh dianggap sebagai salah guna kuasa.

“Apakah ada percubaan untuk sembunyi bahan bukti?

“Semoga pihak PDRM tidak meninggalkan aspek penting ini di dalam siasatan mereka. Siasatan mesti menyeluruh. Pulihkan kebolehpercayaan,” ujarnya.

Zeti dalam kenyataan sebelum ini dilaporkan menolak dakwaan bahawa beliau dan keluarganya menerima wang daripada 1MDB.

Beliau mendakwa, ada laporan media yang tidak betul telah mengaitkan diri dan keluarganya dengan syarikat berkenaan.

Ini kerana, terdapat sebuah portal berita melaporkan ada ahli keluarga Zeti Akhtar, termasuk suami dan anaknya, didakwa menerima dana lebih RM100 juta daripada ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang menjadi buruan pihak berkuasa berhubung skandal dana 1MDB.

Pada 3 Mac lalu, polis dalam kenyataan memberitahu sedang menjalankan siasatan terhadap terhadap Datuk Dr Tawfiq Ayman iaitu suami kepada bekas Gabenor BNM berhubung penerimaan dana dikaitkan dengan 1MDB.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Zainuddin Yaacob, berkata pihaknya menjalankan siasatan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Memandangkan siasatan kes ini membabitkan keterangan di Malaysia dan juga di luar negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengambil tindakan susulan mengikut Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 bagi mendapatkan keterangan yang berada di luar negara.

“Sehubungan itu, PDRM ingin menasihatkan masyarakat untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi melalui mana-mana platform sehingga siasatan polis selesai dan seterusnya dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan suatu keputusan,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan :

https://malaysiapost.com.my/2021/03/03/1mdb-polis-siasat-suami-zeti/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here