Lupakan Bersatu, maju ke depan untuk PRU15 – Ahmad Maslan

0
2

PENOLAKAN kerjasama Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah berpunca daripada ketidakpuasaan hati akar umbi parti, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung Umno itu berkata, ia susulan layanan tidak setimpal terhadap sokongan Umno dalam Perikatan Nasional (PN).

“Apabila satu kejadian berlaku di negara kita iaitu kita dapat menumpaskan Pakatan Harapan (PH) dengan kaedah persepakatan semula, maka bermulalah satu era baru dalam politik negara.

“Umno ketika itu, pada hujung Februari 2020 tidak memberikan sebarang syarat untuk kewujudan kerajaan PN.

“Apabila tiada sebarang syarat, maka Perdana Menteri memilih sesiapa difikirkan layak untuk menjawat jawatan dalam kerajaan,” katanya dalam program 75 Tahun Umno dan solidariti ahli yang disiarkan secara langsung melalui Umno Online malam ini.

Beliau berkata, apa yang berlaku adalah pemimpin utama Umno tidak dilantik menjawat jawatan dalam kerajaan, sedangkan Umno adalah parti terbesar dalam komponen PN.

“Tiada satu kerajaan campuran dalam sejarah negara kita dan dunia, parti terbesar dalam kerajaan itu penjawat utamanya semua tidak berjawatan.

“Maksud saya, Umno ada 55 kerusi Parlimen, apabila berlaku ‘larian’ ke Bersatu, tinggal 43 dan tolak seorang meninggal dunia, kini tinggal 42. Namun 42 ini adalah yang teramai dalam kerajaan PN.

“Tetapi pemimpin utama iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Bendahari Agung dan penjawat utama Majlis Kerja Tertinggi tidak diberikan jawatan,” katanya.

Menurutnya, akibat daripada itu parti Umno dilihat sebagai pemimpinnya kurang relevan dalam kerajaan PN dan ia kemudian menimbulkan permasalahan.

“Kalau disebut begini nanti orang kata Umno gila jawatan, tetapi jika tak sebut orang tak tahu yang pemimpin utama itu tidak berjawatan.

“Kena terang berulang kali baru orang tahu Umno tidak gila jawatan, walhal sepatutnya dalam satu kerajaan campuran parti utama dalam kerajaan itu penjawat utamanya wajar ada jawatan dan susulan itu maka pengikut Umno mula mempertikaikannya,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap, perkara itu dilupakan oleh ahli Umno dan jadikannya sebagai satu pengajaran dalam kesukaran perjuangan Umno.

“Kita maju ke depan, kita lupakan jawatan itu kerana kita ingin menghadapi pilihan raya apabila Covid-19 tidak lagi menjadi masalah di negara ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here