Ingkar PKP: Kompaun sehingga RM10,000 bermula hari ini

0
1

BERMULA hari ini, individu yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000.

Perkara itu seperti mana yang diumumkan Pejabat Peguam Negara yang turut mengutkuasakan kompaun sebanyak RM50,000 terhadap syarikat yang didapati melakukan kesalahan sama.

Penguatkuasaan itu sudah diwartakan 25 Februari lalu di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Kadar kompaun terbabit dinaikkan, susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya.

Selain itu, pindaan terhadap penalti am mengikut Seksyen 24 ordinan sama, bagi kesalahan yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata, kini boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.

Semua perbuatan menyalahi Ordinan Darurat kini boleh ditangkap, manakala individu dijangkiti atau disyaki terkena jangkitan atau menjadi kontak pula boleh dipakaikan dengan peranti pengesanan.

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 itu, diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, pada 11 Januari lalu.

Sudah pasti kenaikan kompaun itu mengundang reaksi tidak senang pelbagai pihak termasuk rakyat. Manakan tidak, kompaun yang asalnya RM1,000 dinaikkan kepada RM 10,000 sememangnya mengejutkan.

Ketika rakyat berjuang demi meneruskan kelangsungan hidup selepas terkesan akibat pandemik Covid-19, kenaikan kadar kompaun itu dilihat seolah-olah sebagai satu penindasan keterlaluan.

Banyak pihak berpendapat jumlah kompaun yang ditetapkan amat tinggi dan tidak munasabah ia termasuk menerima kritikan daripada pemimpin politik yang menentang pelaksanaannya.

Namun, kerajaan memberi jaminan kompaun maksimum RM10,000 bagi mereka yang melanggar peraturan Perintah PKP akan digunakan mengikut budi bicara dan tidak akan menganiaya rakyat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kompaun maksimum itu adalah untuk mereka yang melakukan kesalahan berulang kali dan kategori kesalahan ingkar yang berat.

Tampil menjelaskan kekeliruan dan kebimbangan ramai pihak, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, memaklumkan kenaikan kompaun berkenaan bukan dikenakan bagi kesemua kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, polis akan mengeluarkan tawaran kompaun berkenaan berdasarkan rekod yang mereka ada.

“Kita akui ramai yang salah faham dan bimbang dengan jumlah kompaun sehingga RM10,000. Namun ia bukan dikenakan kepada semua kesalahan termasuk gagal memakai pelitup muka.

“Sebaliknya, untuk kesalahan tertentu iaitu mereka yang degil dengan melakukan kesalahan berulang serta mereka yang melanggar SOP termasuk rentas negeri sehingga menyebabkan berlakunya penularan Covid-19.

“Namun, individu yang dikenakan kompaun RM10,000 itu boleh membuat rayuan untuk pengurangan kompaun kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Daripada sudut lain, kenaikan kadar kompaun ini secara tidak langsung dapat ‘menyuntik’ kesedaran pelbagai pihak untuk lebih peka terhadap pematuhan SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Mahu atau tidak, ia sudah diwartakan. Jadi bermula hari ini, semua pihak perlu mematuhi setiap SOP yang ditetapkan bagi mengelak dikenakan kompaun yang lebih tinggi.

Ayuh rakyat Malaysia, kita boleh melakukannya kerana ‘kita jaga kita’. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/01/kompaun-rm10000-bawah-ordinan-darurat-ismail-sabri/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here