Polis diminta siasat dakwaan Lokman Adam

0
2

SATU laporan polis dibuat oleh Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, ke atas bekas pemimpin Umno, Datuk Lokman Noor Adam di Balai Polis Travers, Brickfields hari ini.

Laporan dibuat Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad susulan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu mendakwa menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menawarkan wang kepada Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail untuk melompat parti.

Beliau meminta polis menyiasat Lokman berhubung ucapan yang disiarkan secara langsung di laman Facebooknya, Sabtu lalu.

“Dalam hantaran itu, Lokman mengeluarkan fitnah terhadap Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), yang menyebut Natrah menyatakan beliau didatangi seorang Datuk Seri.

“Datuk Seri itu ialah Hamzah dan telah menawarkan sekian jumlah harga supaya Natrah melompat menyertai Bersatu dan memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kenyataan ini berniat jahat, fitnah, menghasut dan memupuk perasaan benci dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan serta mendatangkan perasaan tidak tenteram rakyat terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Dalam laporan polisnya juga, Sayed Amir Muzzakkir juga mengatakan, kenyataan Lokman itu memfitnah peribadi Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dengan tuduhan membeli Ahli Parlimen.

Menurutnya, selain Facebook, klip video itu juga tular di aplikasi WhatsApp.

Justeru, beliau mengesa pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh terhadap Lokman.

Dalam siaran langsung selama 50 minit di Facebook baru-baru ini, Lokman mendakwa Hamzah diarahkan oleh Muhyiddin untuk ‘membeli’ anggota parlimen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Natrah baru-baru ini dilaporkan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan cubaan merasuah dirinya bagi mendapatkan sokongan kepada Muhyiddin.

Susulan itu, SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan bahawa Natrah ditawarkan RM10 juta untuk melompat parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here