PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Sibu Jaya, Sibu, Sarawak ditamatkan esok.
Penamatan itu membabitkan Blok C, H, J, K, L, N dan R di lokaliti berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Flat Sibu Jaya membabitkan tujuh Blok kediaman.
Menurutnya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 6,875 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 390 kes telah dilaporkan.
“KKM mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Flat Sibu Jaya Blok C, H, J, K, L, N dan R, Sibu, Sarawak pada 11 Mac 2021 seperti dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Ismail Sabri berkata, seramai 451 individu ditahan semalam atas pelbagai kesalahan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 393 dikompaun manakala 58 lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (129), aktiviti pusat hiburan (82), tiada penjarakan fizikal (79) dan aktiviti pelacuran (75).
“Kesalahan lain adalah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (28), tidak memakai pelitup muka (49) dab premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (9).
Beliau berkata, bagi kawalan sempadan negara melalui Op Benteng semalam pula telah menangkap 24 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas enam kenderaan darat.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 103 buah bot/kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan dan selain itu, lima PATI turut diusir menerusi tiga aktiviti pengusiran,” katanya. – Malaysiapost

