DATUK Seri Najib Razak menyifatkan panggilan ‘kluster mahkamah’ terhadap pemimpin Umno yang berdepan pertuduhan kes di mahkamah sebagai kurang tepat.
Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu dengan sinis mencadangkan ia ditukar kepada ‘kluster tolak jawatan kerajaan’.
Najib menjelaskan panggilan kluster mahkamah itu adalah propaganda dicipta khusus kepada pemimpin Umno yang enggan bekerjasama dengan Bersatu, seperti mana beberapa pemimpinnya yang telah menolak habuan dan tawaran jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kluster mahkamah ini kurang tepat dan hanya sekadar propaganda sebelah sana.
“Patut dijenamakan semula kepada kluster tolak jawatan kerajaan sebab yang turut menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 termasuk rakan-rakan yang tiada kes mahkamah.
“… seperti Penasihat UmnoTengku Razaleigh (tolak jawatan penasihat Petronas), Timbalan Presiden Umno Mat Hassan (tolak jawatan pengerusi TNB) dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi (tolak jawatan pengerusi MAHB),” catatnya menerusi satu hantaran Facebook, hari ini.
Kata Najib, keengganan Umno bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) turut disokong oleh semua Pengerusi Perhubungan Umno negeri kecuali Sabah dan Perlis.
“Turut menolak kerjasama dengan PPBM (Bersatu) termasuk MB (Menteri Besar) Perak, MB Pahang serta hampir semua ketua perhubungan Umno negeri (kecuali Perlis dan Sabah) yang juga tiada kes mahkamah,” katanya.
Umno Sabah dan Perlis telah menyatakan pendirian untuk terus menyokong dan menjalinkan kerjasama dengan Bersatu pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Shahidan Kassim dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang berkuatkuasa serta-merta oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Difahamkan, pendirian Umno Sabah terus bekerjasama dengan Bersatu susulan diberikan kuasa autonomi oleh Umno Pusat. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/08/kenapa-susah-nak-faham-bahasa-guan-eng-soal-najib/

