BAHAGIAN Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang awam mengelak membeli dan menggunakan produk kosmetik FS Turmeric Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata notifikasi produk kosmetik itu telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM.
Oleh itu, katanya, produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Beliau berkata, produk tersebut mengandungi betamethasone 17-valerate iaitu ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
“Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawalan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya menerusi kenyataan.
Dr Noor Hisham berkata, betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
Katanya, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan kerana boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
“Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.
Berikutan itu, beliau mengingatkan penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut supaya menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
“Orang awam yang menggunakan produk kosmetik ini dinasihat segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.
Beliau juga menasihati orang awam agar menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store. – Malaysiapost

